Oleh Faris Yussof –
Memandangkan umat Islam di seluruh dunia akan menyambut ketibaan bulan suci Ramadan, pastinya kita akan sibuk memikirkan hidangan apa yang perlu disajikan untuk sahur dan berbuka.
Tugas menyediakan hidangan pada bulan ini akan bertambah berat sekiranya ada anak-anak yang baru belajar berpuasa terutama menu untuk sahur. Jadi untuk kali ini, jom kita cuba hidangan yang pastinya akan membuatkan anak-anak bersemangat untuk bangun sahur iaitu ayam goreng pandan.
BAHAN-BAHAN
Untuk hidangan ayam goreng pandan, bahan-bahan yang diperlukan ialah 500 gram ayam yang dipotong kecil (bahagian ayam yang paling sesuai ialah bahagian dada atau paha), daun pandan yang digunakan untuk membalut ayam dan minyak masak untuk menggoreng ayam itu nanti.
Sementara itu, bahan-bahan perapan untuk ayam goreng pandan pula ialah dua ulas bawang putih yang ditumbuk halus, satu sudu besar sos tiram, satu sudu besar kicap cair, satu sudu kecil kicap pekat manis, satu sudu kecil gula perang, setengah sudu kecil garam, setengah sudu kecil serbuk lada putih, satu sudu kecil minyak bijan dan terakhir sekali satu sudu besar santan untuk memberi kelembutan tambahan.
CARA PENYEDIAAN
Untuk menyediakannya, awda campurkan semua bahan perapan tadi bersama dengan ayam. Gaul rata dan perap sekurang-kurangnya dua jam.
Sekiranya awda ingin perapan tadi lebih meresap, awda boleh perap ayam tersebut semalaman.
Langkah kedua ialah membalut ayam perapan dengan daun pandan. Caranya mudah sahaja iaitu ambil sehelai daun pandan dan kemudian letakkan seketul ayam di tengah dan lipat daun pandan seperti sampul sebelum menyemat dengan lidi atau pencungkil gigi.
Setelah itu kita boleh mula proses menggoreng. Goreng ayam tadi dalam minyak sederhana panas sehingga keperangan iaitu lebih kurang lima ke tujuh minit. Saya sarankan minyak tadi tidak terlalu panas kerana ditakuti daun pandan cepat hangus.
Selepas ayam kita sudah keperangan, bolehlah kita angkat dan toskan ayam pandan itu.
Tip untuk ayam kita tidak terlalu berminyak, letakkan ayam di atas tisu dapur agar lebihan minyak dapat diserap.
Sajikan bersama sos Thai cili manis atau sos kegemaran awda. Selamat mencuba!
Bahan-bahannya:
– 500g ayam (bahagian dada atau peha, dipotong kecil)
– 10-15 helai daun pandan (untuk membalut ayam)
– Minyak untuk menggoreng
Bahan Perapan:
– 2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
– 1 sudu besar sos tiram
– 1 sudu besar kicap cair
– 1 sudu kecil kicap pekat manis
– 1 sudu kecil gula perang
– ½ sudu kecil garam
– ½ sudu kecil serbuk lada putih
– 1 sudu kecil minyak bijan
– 1 sudu besar santan (untuk kelembutan tambahan)