Tuesday, March 4, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ayam lemon herbs ala Nandos

    Oleh Faris Yussof –

    Semasa bulan Ramadan ini kita sering kali mencari-cari menu baharu yang ingin dicuba untuk berbuka puasa. Semasa kita berbuka puasa, disarankan untuk memakan hidangan yang sihat dan tidak terlalu berminyak agar perut kita dapat menghadam makan dengan lebih baik.

    Jadi apa kata awda cuba hidangan ayam lemon herbs yang sihat dan pastinya membuatkan keluarga awda kagum dengan masakan awda.

    BAHAN-BAHAN

    Untuk menyediakan masakan ini, awda perlukan kira-kira enam ketul paha ayam, selepas itu perapkan ia dengan garam dan lada sulah, serbuk lada putih, serbuk lada cayenne dan herba campuran yang biasanya kita boleh dapatkan di pasar raya dalam kemasan botol.

    Sesudah itu, bagi kan sedikit minyak zaitun dan madu.

    Sementara itu, untuk hidangan sayur, awda boleh guna sayur brokoli, lobak, ubi manis dan ubi. Sebenarnya untuk sayur, terpulang kepada awda sayur apa yang awda ingin tambahkan, mungkin ada yang suka menambah cendawan dalam hidangan tetapi bagi saya, empat jenis sayur yang saya gunakan ini sudah cukup sempurna. Selain itu, bahan yang diperlukan ialah bawang putih dan bawang besar yang dihiris, hirisan lemon dan mentega.

    GAMBAR OLEH FARIS YUSSOF
    GAMBAR OLEH FARIS YUSSOF
    Gambar Pexel
    Gambar Pexel
    Gambar Pexel
    Gambar Pexel

    CARA PENYEDIAAN

    Masukkan sayur-sayur ke dalam bekas yang tahan ketuhar, selepas itu masukkan hirisan bawang putih dan bawang besar, tambah sedikit lada sulah dan gaulkan sehingga sekata.

    Kemudian tambahkan lemon dan mentega – untuk memberikan hidangan lebih berkrim.

    Setelah itu, letakkan ayam di atas sayur. Ayam tersebut boleh dikelar dahulu agar segala rempah tadi meresap. Kemudian masukkan ayam tadi ke dalam ketuhar dan bakar selama 20 minit. Selepas 20 minit, terbalikkan ayam agar ia masak sekata dan masak lagi selama 25 minit. Setelah ayam sudah kekuningan dan sayur sudah lembut, bolehlah dihidangkan.

    Ayam lemon herbs ini sesuai dihidangkan bersama nasi atau kentang putar. Ketika mencuba masakan ini, apa yang boleh saya bandingkan adalah seperti makan ayam Nandos. Sangat sedap dan kini jika teringin memakan sesuatu hidangan yang sihat, pasti inilah resipi yang saya akan ulang. Selamat mencuba!

    Bahan-bahanya

    • 6 ketul paha ayam (dikelar)
    • Satu sudu kecil garam
    • Satu sudu kecil lada sulah
    • Serbuk lada putih
    • Tiga sudu serbuk lada cayenne
    • Herba campuran secukupnya
    • Dua sudu madu
    • Dua sudu minyak zaitun

    Bahan perapan

    • Sayur brokoli
    • Lobak merah (dipotong kiub)
    • Ubi manis (dipotong kiub)
    • Tiga ulas bawang putih
    • Setengah biji bawang besar
    • Lemon (dihiris)
    • Mentega
    • Lada sulah

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda