Oleh Hajib Sarhan –
Ayam masak lemak cili api merupakan hidangan tradisional Melayu yang sangat digemari, khususnya di negeri-negeri di Pantai Timur di Malaysia.
Masakan ini terkenal dengan rasa lemak santannya yang pekat, digabungkan dengan kepedasan cili api yang membangkitkan selera.
Sesuai dinikmati bersama nasi putih panas, hidangan ini bukan sahaja mudah disediakan, tetapi juga kaya dengan aroma herba seperti kunyit hidup, serai dan daun kunyit yang memberi rasa autentik yang tersendiri.
Cara Penyediaan:
Tumbuk cili api bersama kunyit hidup sehingga lumat. Panaskan sedikit minyak dalam periuk dan tumis bahan tumbuk tersebut sehingga naik bau.
Masukkan ayam dan kacau sehingga ayam berubah warna. Tuangkan satu cawan air ke dalam periuk dan biarkan ia mendidih.
Setelah itu, masukkan santan dan kacau perlahan-lahan supaya santan tidak pecah.
Seterusnya, tambahkan serai yang telah dititik, asam keping, dan daun kunyit yang dihiris halus. Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa.
Teruskan memasak menggunakan api kecil sehingga ayam empuk dan kuah menjadi pekat.
Setelah masak, tutup api dan hidangkan panas-panas bersama nasi putih.
Bahan-bahan:
• 500g ayam – dipotong kecil
• 10 biji cili api
• 4 cm kunyit hidup
• 1 cawan air
• 1 kotak kecil santan (200ml)
• 2 batang serai – dititik
• 1 keping asam keping
• Sedikit daun kunyit – dihiris halus
• Gula dan garam secukup rasa
Nota:
Gunakan api kecil semasa memasak dengan santan untuk mengelakkan santan pecah dan memastikan kuah kekal berkrim.