Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AYC 2025 himpunkan pemimpin belia ASEAN di Kuala Lumpur

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Persidangan Belia ASEAN (AYC) 2025, merupakan inisiatif utama di bawah Pertubuhan Belia ASEAN (AYO) yang telah diadakan kelmarin di Universiti Taylor, Kuala Lumpur, Malaysia, dan berakhir hari ini.

    Persidangan tahun ini membawa tema Peranan Belia dalam Membina Rantau ASEAN yang Inklusif dan Mampan, yang mencerminkan semangat Pengerusi ASEAN Malaysia 2025 iaitu Inklusiviti dan Kemampanan.

    Dalam siaran akhbar hari ini, AYO menyatakan bahawa persidangan ini telah dianjurkan bersama Pusat Untuk Perniagaan Keluarga, Universiti Taylor, dengan AYC 2025 menghimpunkan lebih 100 pemimpin belia, inovator dan pencetus perubahan dari seluruh ASEAN serta rantau lain.

    Semasa persidangan itu, mereka telah menyertai pelbagai sesi panel, bengkel serta program pembangunan kapasiti dan interaktif.

    Selain itu, persidangan ini turut menampilkan barisan penceramah daripada sektor awam dan swasta, organisasi serantau, para akademia serta masyarakat sivil, yang mencerminkan komitmen bersama rantau ini terhadap kerjasama rentas sektor.

    Sesi bergambar ramai semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN AYC
    Antara delegasi yang hadir semasa AYC 2025 yang berlangsung di Universiti Taylor, Kuala Lumpur, Malaysia. – GAMBAR SERAHAN AYC
    GAMBAR SERAHAN AYC
    Prof. Prapaporn Tivayanond Mongkhonvanit berucap semasa persidangan tersebut. – GAMBAR SERAHAN AYC

    Antara acara utama semasa persidangan itu ialah sesi perbincangan panel berimpak tinggi yang merangkumi ketiga-tiga Tonggak ASEAN.

    Sesi ini menampilkan wakil dari agensi kerajaan, pemimpin industri, pertubuhan belia, institusi akademik dan pakar serantau dan dikendalikan oleh ahli kanan AYO.

    Perbincangan tersebut turut memberikan peserta pandangan menyeluruh tentang masa depan kerjasama dan pembangunan ASEAN.

    Pengarah Bersama Projek AYC dan Pengurus Impak AYO Cawangan Malaysia, Muhammad Amirul Aseri berkata, “Kami berbesar hati kerana dapat menghimpunkan barisan penceramah yang berwibawa dan memberi dapat memberi inspirasi.”

    “Perbincangan yang merangkumi pelbagai bidang ini membolehkan para delegasi untuk menghalusi idea mereka serta memahami hubungan antara cabaran yang dihadapi di seluruh rantau,” jelasnya.

    Sepanjang persidangan, peserta juga terlibat dalam bengkel intensif secara berkumpulan bagi menghasilkan kertas dasar yang selaras dengan keutamaan ASEAN dan hasil cadangan daripada belia-belia itu akan diperhalusi sebelum diserahkan kepada Sekretariat ASEAN untuk pertimbangan dalam Rancangan Kerja Belia ASEAN 2026-2030.

    Sebagai platform penting untuk pertukaran antar budaya generasi dan disiplin, persidangan ini terus memainkan peranan utama dalam memupuk perkongsian jangka panjang yang menyumbang kepada pembentukan komuniti ASEAN yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda