Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat, 29, mengesahkan kini hamil empat bulan.
Isteri kepada Nabil Mahir itu berkongsi berita gembira pada majlis berbuka puasa istimewa yang dianjurkannya di sebuah hotel terkemuka ibu kota, baru-baru ini.
Ayda berkongsi, hampir mengalami keguguran kerana tekanan kerja, selain berita kehamilan diumumkan lebih awal oleh pihak lain.
“Tidak dinafikan, saya stres, terlalu banyak berfikir dan kecewa dengan berita kehamilan didedahkan bukan daripada saya dan suami.
“Malah, saya mengalami pendarahan hingga dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, semuanya kembali terkawal selepas itu,” katanya kepada wartawan. Ayda juga berharap proses kehamilannya akan dipermudahkan hingga hari bersalin.

Ayda atau nama sebenarnya, Nor Suhada Jebat itu dijangka melahirkan cahaya mata pertama pada Oktober depan.
“Semoga segala-galanya dipermudahkan. Mohon semua mendoakan baik-baik.
“Majlis berbuka puasa hari ini saya undang rakan media, pelanggan dan sahabat terdekat untuk berkongsi berita ini.
“Saya percaya usia kandungan sekarang tempoh terbaik untuk mengumumkan kehamilan.
“Terima kasih buat semua yang memahami. Semoga semuanya dipermudahkan, insya-Allah,” katanya.
Ayda berkata, keputusan mengumumkan kehamilan pada saat ini juga kerana terikat dengan komitmen kerja.
“Jadi, saya mengambil masa untuk mengumumkan perkara ini dengan jenama yang sudah terikat.
“Pada masa yang sama, saya perlu mengatur komitmen dan sesi fotografi dengan jenama berkenaan,” katanya.
Ayda berkata, dia berdepan alahan termasuk tidak boleh bau dapur rumah.
“Malah, saya juga tidak tahan dengan bau penyembur sanitasi milik suami,” katanya. – Agensi