Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ayie meninggal dunia akibat masalah jantung

    Pemain bass kumpulan Ella & The Boys iaitu Ayie, 69, meninggal dunia di kediamannya di Puchong, Selangor pada awal pagi Sabtu.

    Isteri Allahyarham, Siti Mariam Yaakob, 57, berkata, Ayie atau Zahari Mohammed meninggal dunia akibat masalah jantung dan kematiannya disahkan oleh pasukan paramedik pada pukul 3:05 pagi.

    Bagaimanapun kata Siti Mariam, suaminya sudah meninggal dunia dalam pangkuannya sekitar pukul 2 pagi sebelum pasukan perubatan tiba di rumah membuat pengesahan kematian.

    “Saya sebenarnya yakin dia meninggal dunia dalam pangkuan saya kira-kira pukul 2 hingga 2:30 pagi.

    “Sebelum itu, saya ada telefon kenalannya untuk minta segera datang ke rumah. Merekalah yang menghubungi pasukan perubatan bagi melihat keadaan suami,” katanya.

    Ayie meninggal dunia pada usia 69 tahun. – Agensi

    Dalam pada itu, Siti Maryam memberitahu arwah tidak mempunyai penyakit jantung sebelum ini namun ada mengadu sakit dada sekitar pukul 10 malam selepas pulang dari studio.

    Katanya, kebiasaannya Ayie akan sampai ke rumah sekitar pukul 2 ke 3 pagi dari studio namun pada Jumaat suaminya itu pulang lebih awal.

    “Selalunya dia balik lambat, sama ada pukul 2 atau 3 pagi. Tetapi malam tadi, dia memang pulang cepat sehinggakan saya terfikir mungkin dia penat.

    “Bagaimanapun sekitar pukul 10 malam dia mengadu sakit dada. Saya usap dahi dan mengajarnya mengucap,” katanya.

    Sementara itu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohol, Kinrara, Puchong.

    Untuk info, Zahari menganggotai kumpulan Ella & The Boys bersama Ella (penyanyi), Lord (gitar) dan Mie (dram) pada 1981.

    Antara lagu-lagu yang dipopularkan oleh mereka termasuklah Dua Insan Bercinta, Cinta Berakhir dan Hanya Secebis Jawapan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda