Penyanyi dan pelakon, Wanna Ali berkongsi pengalaman mencemaskan apabila ibunya yang juga penerbit, Datuk Ayu Puteh rebah dan berada dalam keadaan lumpuh selama 40 minit di kediamannya pada Khamis lalu.
Menerusi hantaran dimuat naik dalam Instagram Story (IGs), Wanna atau nama sebenarnya, Nur Syazwana Mohd Ali, 25, menyifatkan insiden yang menimpa ibunya sebagai satu pengalaman ngeri buatnya.
“Ini adalah pengalaman paling ngeri buat saya. Mama saya rebah ketika saya tiada di rumah. Sebaik sahaja mendapat panggilan, saya pandu kereta macam orang gila balik rumah.
“Dalam perjalanan pulang, abang hubungi ambulans untuk bawa mama ke hospital.
Sampai di hospital barulah mama boleh memberikan respons. Badannya lumpuh sekurang-kurangnya dalam tempoh 40 minit, tetapi masih boleh mendengar,” tulisnya.

Melalui perkongsian sama, pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa ini turut memaklumkan keadaan ibunya itu disebabkan jangkitan Influenza A.
“Doktor sahkan mama dijangkiti Influenza A, selain mengalami tekanan dan ‘over thinking’ hingga mengakibatkan dia rebah.
“Terima kasih kepada semua pihak yang menghubungi saya untuk bertanyakan perkembangan terkini mama. Buat masa ini, mama masih lagi dirawat di hospital. Doakan semoga mama saya cepat sembuh,” ungkap Wanna.
Sementara itu, Wanna ketika dihubungi BH Online berkata, keadaan ibunya masih lemah dan sudah tiga hari menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya. – Agensi