Penerbit Datuk Ayu Puteh masih trauma susulan pejabat miliknya yang terletak di Damansara Damai dipecah masuk 29 April lalu.
Berkongsi keadaan terkini, Ayu atau Normashayu Puteh, 48, berkata pihak polis masih lagi melakukan siasatan secara terperinci malah tidak menolak sekiranya ada unsur khianat.
“Kes pecah pejabat masih lagi dalam siasatan polis. Mereka nampak pelaku mencari sesuatu dan bukan pecah pejabat biasa. Ada unsur-unsur khianat.
“Saya masih lagi takut sebab rasanya pencuri itu berdendam dengan saya. Tapi kenapa nak berdendam dengan saya? Kalau ada masalah selesaikan secara baik,” katanya kepada mStar.
Menurut Ayu, dia bukan sahaja hilang wang ringgit malah cakera keras drama Di Sebalik Dia turut lesap.

Katanya cakera keras tersebut merupakan bahan bukti mahkamah yang tersimpan rapi namun berjaya dibawa lari pencuri berkenaan.
“Ada banyak lagi benda berharga macam kamera yang betul-betul mahal. Dia hanya ambil duit dan tiga peti besi dikopak.
“Pihak polis andaikan itu bukan kerja perompak biasa tapi sudah biasa buat kerja itu.
“Saya pun terkejut dengan barang-barang yang hilang bila hard disk drama Di Sebalik Dia sebanyak 26 episod juga dibawa lari.
“Master footage yang sememangnya milik saya berharga RM900,000 sebab kes saya belum selesai,” kongsinya. – Agensi