Penerbit Datuk Ayu Puteh kini boleh menarik sedikit nafas lega apabila individu yang didakwa menipu dirinya telah ditahan pihak berkuasa dan kini kes sedang dalam perbicaraan mahkamah, kongsi mStar.
Kata Ayu atau Normashayu Puteh, 48, dia menunggu lebih empat tahun menjejaki individu yang dikenali sebagai Datuk R itu selepas ditipu sebanyak RM500,000 bagi tujuan perniagaan.
“Empat tahun saya menunggu dia dan sepanjang tempoh itu dia mengelak untuk berjumpa. Ada beberapa kali juga terserempak. Panggilan dan mesej saya semua tidak berjawab.
“Saya memang kenal orang itu. Lepas dia tipu saya ada beberapa rakan artis lain juga jadi mangsa. Mereka takut nak buat laporan polis sebab Datuk R ini dakwa dirinya orang-orang kenamaan,” katanya.
Sebutan kes itu berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, kelmarin dan individu berkenaan mengaku tidak bersalah.
Perbicaraan kes akan bersambung pada 29 Ogos nanti.
Berkongsi tentang penipuan yang dilakukan, menurut Ayu lelaki berkenaan berjaya memperdaya dirinya untuk membuat pelaburan bagi membuka sebuah syarikat.
Bagaimanapun perjanjian urusan perniagaan tidak seperti yang dipersetujui dan syarikat dimaksudkan juga tidak beroperasi. – Agensi
