Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah dan Tabung-tabung Darah di seluruh negara masih di tahap yang rendah.
Oleh itu, penderma darah bagi semua kumpulan darah adalah diperlukan dengan segera bagi menampung keperluan pemindahan darah di kesemua hospital di negara ini.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyeru orang ramai untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu meningkatkan bekalan stok darah di Negara Brunei Darussalam dengan mengambil bahagian dalam kempen-kempen menderma darah.
Sehubungan itu, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan mengadakan kempen derma darah yang dibukakan penyertaan kepada orang ramai pada hari ini, 11 Mei di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bermula pukul 8.30 pagi hingga pukul 12 tengah hari.
Kempen juga diadakan esok, 12 Mei di Tingkat Satu, Annajat Complex, Beribi bermula pukul 10 pagi hingga pukul 3 petang dan juga pada 13 dan 14 Mei di Function Room, Tingkat 2, The One Mall, Batu Satu bermula pukul 10 pagi hingga pukul 3 petang.
Pada 17 Mei pula kempen diadakan di Ruang Lobi, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Pengiran Babu Raja bermula pukul 9 pagi hingga pukul 11.30 pagi dan dari pukul 1.30 petang hingga pukul 3 petang.
Selain itu, orang ramai adalah juga dialu-alukan untuk datang terus ke Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi menderma darah pada waktu bekerja bermula pukul 8 pagi hingga pukul 11.30 pagi dan pukul 1.30 petang hingga pukul 3.30 petang.
Para penderma darah adalah digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen derma darah berkenaan.
