Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah dan Tabung-tabung Darah di seluruh negara adalah di tahap yang rendah.
Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu meningkatkan bekalan stok darah di Negara Brunei Darussalam dengan menderma darah.
Dalam hubungan itu, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan mengadakan kempen-kempen derma darah yang dibukakan penyertaan kepada orang ramai pada 11 Februari di Concourse Area, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Saadatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam bermula pukul 10 pagi hingga pukul 3 petang, pada 12 Februari di Zainul Daud Sdn Bhd, Jalan Perindustrian Sungai Bera bermula pukul 9 pagi hingga pukul 2 petang, pada 13 Februari di Tingkat 1, Airport Mall, anjuran McDonald’s Brunei bermula pukul 9 pagi hingga pukul 11.30 pagi dan pukul 1.30 petang hingga pukul 3.00 petang serta pada 15 Februari di Lantai bawah, Kompleks Membeli-belah Yayasan, Bandar Seri Begawan, anjuran Guardian Brunei bermula pukul 10 pagi hingga pukul 3 petang.
Orang ramai yang berminat untuk menderma darah juga dialu-alukan untuk datang terus ke Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) untuk menderma darah pada waktu bekerja bermula pukul 8 pagi hingga pukul 11.30 pagi dan pukul 1.30 petang hingga pukul 4 petang.
Para penderma darah yang berminat adalah digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen derma darah berkenaan.