Thursday, May 8, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ayuh beri sumbangan kepada bekalan darah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Pada masa ini, bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah dan Tabung-Tabung Darah di seluruh negara dilaporkan di tahap yang rendah. Oleh itu, penderma darah adalah diperlukan dengan segera bagi menampung keperluan pemindahan darah di kesemua hospital di negara ini.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyeru orang ramai untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu meningkatkan bekalan stok darah di Negara Brunei Darussalam dengan mengambil bahagian dalam kempen-kempen menderma darah.

    Dalam hubungan itu, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan akan mengadakan kempen derma darah yang dibukakan penyertaan kepada orang ramai pada esok, 8 Mei di Ruang Legar, Lobi 5, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bermula pukul 8 pagi hingga pukul 11.30 pagi dan pukul 1.30 petang hingga pukul 3.30 petang.

    Kempen juga diadakan pada 10 Mei di Honda Showroom Gadong anjuran Happy Motoring Sdn Bhd bermula pukul 10 pagi hingga pukul 3 petang. 

    Di samping itu, orang ramai adalah juga dialu-alukan untuk datang terus ke Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi menderma darah pada waktu bekerja bermula pukul 8 pagi hingga pukul 11.30 pagi dan pukul 1.30 petang hingga pukul 3.30 petang.

    Para penderma darah adalah digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen derma darah berkenaan.

    Orang ramai diseru untuk tampil menderma darah. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda