Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Orang ramai diseru untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu meningkatkan bekalan darah di Negara Brunei Darussalam dengan mengambil bahagian dalam kempen-kempen menderma darah.
Dalam hubungan itu, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal akan mengadakan kempen derma darah yang dibuka kepada orang ramai pada 7 Oktober di Dewan Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bermula pukul 9 pagi hingga pukul 11 pagi dan pukul 1.30 petang hingga pukul 3.30 petang.
Selain itu, kempen derma darah turut diadakan di Renault Showroom Telanai anjuran Maju Motors Sdn Bhd pada 8 Oktober bermula pukul 10 pagi hingga pukul 2 petang, dan pada 9 Oktober pula di Dewan Seri Kenangan, Daerah Tutong Sempena Jerayawara Badudun Bersama Biskita anjuran Radio Televisyen Brunei bermula pukul 10 pagi hingga pukul 2 petang.
Sementara pada 12 Oktober pula, kempen bakal diadakan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampung Manggi Madang anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid bermula pukul 9 pagi hingga pukul 11 pagi dan pukul 1 petang hingga pukul 3 petang.
Di samping itu, orang ramai adalah juga dialu-alukan untuk tampil ke hadapan bagi menderma darah untuk sama-sama membantu meningkatkan bekalan stok darah, dengan datang terus ke Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi menderma darah pada waktu bekerja bermula pukul 8 pagi hingga 11.30 pagi dan pukul 1.30 petang hingga 3.30 petang.
Manakala itu, Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait juga akan mengadakan kempen derma darah pada 11 Oktober di Tingkat Bawah, Pusat Membelia-belah KB Sentral anjuran Jolibee Brunei bermula pukul 9 pagi hingga pukul 11.30 pagi dan pukul 2 petang hingga pukul 3 petang.
Para penderma darah yang berminat digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen derma darah berkenaan.