Oleh: Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Orang ramai diseru untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu meningkatkan bekalan darah di Negara Brunei Darussalam dengan mengambil bahagian dalam kempen-kempen menderma darah.
Dalam hubungan itu, Pusat Pendermaan Darah di Jabatan Perkhidmatan Makmal akan mengadakan kempen derma darah yang dibukakan penyertaan kepada orang ramai bermula esok dan 6 November di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas bersempena Pesta Buku Brunei 2024 pada pukul 9 pagi hingga pukul 3 petang.
Pada 8 November di Masjid Kampung Bengkurong bermula pukul 8.30 pagi hingga pukul 11 pagi serta pada 9 November di Autocare Hub, Jalan Gadong bermula pukul 10 pagi hingga pukul 3 petang.
Di samping itu, orang ramai adalah juga dialu-alukan untuk tampil ke hadapan bagi menderma darah untuk sama-sama membantu meningkatkan bekalan stok darah, dengan datang terus ke Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bagi menderma darah pada waktu bekerja bermula pukul 8 pagi hingga 11.30 pagi dan pukul 1.30 petang hingga 3.30 petang.
Para penderma darah yang berminat adalah digalakkan untuk membuat tempahan slot derma darah melalui aplikasi BloodKad bagi kempen derma darah berkenaan.