Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azadan terus perjuangkan dakwah

    DEMI melengkapkan karakter sebagai anak seni, Azadan Abdul Aziz tampil dengan single terbaru, Seindah Memberi ciptaan Fazli Fareast dan lirik oleh Ito Lara.

    Tambahan pula, ahli kumpulan Rabbani ini sudah berkecimpung dalam industri hiburan, sejak 30 tahun lalu.

    Sebagai seorang yang sangat komited, Azadan mempunyai impian mengeluarkan single atau album sendiri.

    “Sebelum ini, saya hanya bertindak sebagai penyanyi latar Rabbani. Jadi, buat apa saya duduk dalam satu kumpulan, tapi orang tak tahu bagaimana suara saya.

    “Jujurnya, memang ada yang bertanya tentang itu,” katanya.

    Azadan Abdul Aziz tampil dengan single terbaru, Seindah Memberi.

    Malah, penyanyi berusia 43 tahun ini menjelaskan, kehadiran single itu bukan untuk bersaing dengan penyanyi popular lain.

    Kata Azadan berseloroh, walaupun suaranya tidak terlalu bagus, dia tetap melakukannya demi kepuasan diri.

    Mengakui kekok untuk tampil solo kerana sudah biasa berada di atas pentas bersama ramai ahli kumpulannya namun Azadan tetap yakin dapat melakukannya kerana masih ramai yang memberi memberi semangat.

    Menyedari pandangan negatif masyarakat, Azadan mengakui lagu ini dihasilkan mengikut kesesuaian vokalnya.

    “Lagu ini dirakamkan dalam tempoh empat jam di Studio Inteam Records. Bukan mudah habiskan proses rakaman sebab saya bukan penyanyi hebat dan agak kekok,” katanya.

    Pada masa sama, katanya, langkahnya bergerak solo juga demi memudahkan urusan memenuhi jemputan NGO.

    “Saya sering diundang memberi motivasi kepada pelajar sekolah dan pusat pengajian tinggi serta program kemanusiaan. Jadi, saya rasa lebih berseri jika saya buat persembahan selingan walaupun vokal saya tak sehebat arwah Ustaz Asri tetapi bolehlah sekadar hiburan,” katanya.

    Azadan juga merancang memiliki album penuh, tahun depan dengan lima lagu termasuk duet bersama anaknya, Izwan dan seorang penyanyi lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda