Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azam bawa balik kejuaraan

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Pasukan sofbol lelaki dan wanita Brunei Darussalam telah meninggalkan negara pada pagi tadi bagi menyertai Masters Fastpitch Softball 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 23 Oktober di Pusat Peranginan dan Kelab Desa Horseshoe Point, Chonburi, Thailand.

    Hadir bagi menyerahkan bendera negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) pada pagi tadi ialah Presiden Persatuan Sofbol dan Besbol Amatur Brunei (BASBA), Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar bin Haji Abdul Aziz.

    Turut hadir ialah Naib Presiden BASBA yang juga Pengurus Pasukan Masters Lelaki, Wan Mohd Tambrin Shah bin Haji Suhaili.

    Kejohanan tersebut melibatkan pasukan-pasukan dari Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan negara tuan rumah, Thailand.

    Menurut Jurulatih Pasukan Masters Lelaki, Awang Abdul Kani bin Sapian, pada tahun lalu pasukan yang mewakili negara telah mendapat tempat kedua di Sofbol Asia Timur Master Lelaki ke-8 2022 di Singapura. Oleh itu, pada tahun ini mereka akan cuba mendapatkan tempat pertama dalam kejohanan itu dengan melakukan yang terbaik secara berpasukan.

    Sejak dua bulan yang lepas pasukan negara telah menjalani latihan berterusan pada setiap minggu bagi mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi kejohanan kali ini.

    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar bergambar ramai bersama para atlet di LTAB. – Gambar serahan BASBA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda