Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Seramai 40 orang daripada 13 buah persatuan yang bergabung dengan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) telah meneruskan lagi majlis bertadarus bagi menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia pada tahun ini.
Majlis kali ini diadakan di Ar-Raiyan, kediaman Naib Yang Di-Pertua II MWNBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali di Jerudong di mana rombongan meneruskan bacaan Juzuk ke-2 Al-Quran.
Datin Hajah Masni ketika ditemu bual di majlis itu menjelaskan, aktiviti bertadarus pada bulan Ramadan ini merupakan kegiatan tahunan MWNBD yang bertujuan untuk berkumpul membaca Al-Quran beramai-ramai seterusnya mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli seterusnya membuat kerja-kerja sukarelawan kemasyarakatan secara ikhlas semata-mata kerana Allah.
“Membaca Al-Quran adalah amalan terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah bagi meraih pahala yang berlipat ganda,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dengan membaca Al-Quran secara berkumpulan atau bertadarus ini juga merupakan peluang berdoa dengan ayat-ayat Al-Quran dan pendekatan motivasi unik yang amat baik untuk sama-sama memperbaiki bacaan Al-Quran.


“Selain menanamkan keazaman diri untuk memperbaiki bacaan Al-Quran serta menghayati dan memahami erti dan tafsiran ayat yang dibaca untuk menjadi pengajaran dan ketaatan kepada perintah Allah,” ujarnya lagi.
Beliau seterusnya menambah, majlis keagamaan seperti ini memberi peluang untuk berdoa supaya diberi kekuatan akidah dan keimanan serta dapat beristiqamah dan kesungguhan supaya dapat mengerjakan amal ibadat yang lain pada bulan Ramadan yang mubarak ini.
Sementara itu, Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Bakar dari Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) pula berkata, persatuan itu juga dibawa menghadiri Majlis Tadarus di istana bagi memberi peluang untuk semua persatuan tersebut berkumpul dan menyemarakkan bulan Ramadan.
Beliau seterusnya menjelaskan, majlis tadarus ini juga salah satu cara untuk mentasmik bacaan dan dengan cara itu dapat memperbaiki mutu bacaan bukan saja untuk yang membacanya tapi juga yang mendengarnya agar beroleh manfaatnya.
Majlis tadarus diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Tahlil yang dikepalai oleh Hajah Saadiah binti Haji Abragum dari WI diikuti bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pengiran Hajah Rakiah seterusnya bacaan Doa Selamat oleh Hajah Taibah binti Kudis dari PKP.
Turut hadir menyertai dalam majlis itu ialah Naib Yang Di-Pertua I, MWNBD Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat.