Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azan dan iqamah bagi munfarid

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Sambungan dari minggu lepas

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    HUKUM AZAN DAN IQAMAH BAGI MUNFARID SERTA PERSOALANNYA

    Pada dasarnya, menurut qaul jadid dalam mazhab asy-Syafi‘i, orang yang bersembahyang sendirian yakni munfarid disunatkan secara sunat ‘ain untuk mendirikan azan dan iqamah.

    Walau bagaimanapun, dalam beberapa keadaan, kaifiat serta tuntutannya tidak sama dengan azan dan iqamah yang didirikan untuk sembahyang jemaah.

    Terdapat beberapa perbincangan hukum dan persoalan khusus bagi permasalahan azan dan iqamah bagi seorang munfarid. Ini sepertimana berikut:

    1. HUKUM AZAN DAN IQAMAH BAGI MUNFARID

    Sunat ke atas munfarid secara sunat ‘ain untuk mendirikan azan serta iqamah walaupun azan sudah dilaungkan sebelum itu oleh orang lain dan dia sendiri telah mendengar azan tersebut. Ini tidak ada beza sama ada munfarid itu hendak mengerjakan sembahyang dalam bangunan ataupun tempat terbuka seperti padang pasir dan sebagainya.

    2. KADAR SUARA KETIKA MENDIRIKAN AZAN DAN IQAMAH BAGI MUNFARID

    (i) Bagi seorang munfarid, sekiranya dia tidak mahu mengeraskan suaranya ketika mendirikan azan, maka adalah memadai untuk dia mendirikannya dalam kadar yang dapat didengar oleh telinganya sendiri sahaja. Dengan yang demikian, dia dikira sudah menunaikan tuntutan mendirikan azan dan mendapat pahala sunat mendirikan azan.

    Foto Canva

    Ini berbeza dengan azan ketika sembahyang jemaah yang disyaratkan padanya untuk dilaungkan dengan suara keras supaya ia dapat didengar oleh para jemaah. Ini bertujuan bagi mengumumkan masuk waktu supaya para jemaah mengetahui bahawa tidak lama lagi sembahyang jemaah akan dikerjakan.

    (ii) Walaupun dikira memadai bagi seorang munfarid untuk mendirikan azan dalam kadar yang hanya dapat didengar oleh telinganya sendiri sahaja, akan tetapi menurut ulama adalah disunatkan dan lebih dituntut atas munfarid untuk mengeraskan suaranya lebih daripada kadar yang hanya dapat didengar olehnya sendiri.

    Tuntutan sunat mengeraskan suara ketika azan ini dikira sudah memadai dan memenuhi tuntutan bagi munfarid sekiranya kadar suara azannya itu melebihi sedikit daripada kadar yang dapat didengar olehnya sendiri. Adapun bagi munfarid yang hendak melaksanakan tuntutan yang lebih sempurna pula, maka dia disunatkan untuk mengeraskan suaranya ketika azan semampu yang boleh, asalkan tidak menimbulkan masyaqqah atau menyusahkan dirinya.

    Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, yang secara umum menganjurkan ke atas siapa sahaja yang mendirikan azan supaya mengeraskan suaranya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Tidak ada satu pun jin, manusia atau sesuatu yang mendengar laungan gema dan cakupan suara seorang muazzin melainkan masing-masing mereka itu akan bersaksi untuk kebaikan diri muazzin tersebut pada hari kiamat. (Hadits riwayat al-Bukhari)

    (iii) Bagi iqamah pula, adalah juga memadai atas munfarid untuk iqamah dalam kadar yang dapat didengar oleh telinganya sendiri sahaja.

    Ini juga berbeza dengan iqamah ketika sembahyang jemaah yang disyaratkan jahr iaitu dengan suara yang keras. Bagaimanapun, dalam sembahyang jemaah, iqamah disyaratkan supaya lebih rendah daripada azan.

    3. HUKUM DAN KAIFIAT AZAN BAGI MUNFARID KETIKA BERSEMBAHYANG DI MASJID, SURAU DAN SEUMPAMANYA

    (i) Sekiranya seorang munfarid hendak mengerjakan sembahyang di masjid, surau, atau tempat-tempat lain yang sudah didirikan azan padanya dan sudah dikerjakan sembahyang jemaah padanya sebelum itu, maka munfarid itu tidak disunatkan mengeraskan suara ketika azan.

    Tidak ada beza dalam hal ini sama ada jemaah itu sudah beredar atau belum.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda