Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azeem mahu bukti kemampuan

    HANGZHOU, 28 SEPT – Raja pecut Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mahu membuktikan dirinya sebagai jaguh Asia Tenggara apabila membuat penampilan sulungnya di Sukan Asia di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, esok.

    Bagi mencapai misi itu, beliau perlu mengatasi dua pesaing utama dari Asia Tenggara, iaitu bekas juara remaja dunia, Muhammad Zohri dari Indonesia yang mempunyai rekod peribadi 10.03 saat (s) dan raja pecut Asia Tenggara di Sukan SEA Hanoi 2021, Puripol Boonson dari Thailand dengan rekod 10.09s.

    Azeem, 19, yang memegang rekod Malaysia dengan catatan 10.09s di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia, perlu berada pada prestasi terbaiknya untuk merealisasikan hasrat berkenaan selepas mencatatkan 10.25s untuk menamatkan saingan Kejohanan Asia di tempat kelima pada Julai lalu dan 10.24s di Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary, Ogos lalu.

    Zohri, yang tidak lagi berada dalam prestasi terbaiknya dan Puripol tidak beraksi di Kejohanan Asia di Bangkok manakala pada Sukan SEA Hanoi 2021, tahun lalu, penyertaan Azeem pada final dibatalkan kerana false start.

    “Sebulan selepas Kejohanan Dunia pada Ogos lalu, saya dan jurulatih (Ken Harnden) mengkaji segala kelemahan yang boleh mengganggu larian saya. Alhamdulillah, saya sudah kesan dan semuanya sudah diperbaiki sebelum datang ke sini.

    “Jadi saya harap ia dapat membantu saya memperbaiki catatan masa di Sukan Asia,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan, hari ini.

    “Walaupun catatan di Kejohanan Asia dan Dunia agak jauh berbanding rekod saya tetapi sebenarnya larian bagi tahun ini lebih memberangsangkan daripada tahun lepas. Purata catatan masa musim ini adalah 10.19s, berbanding 10.22s pada tahun lepas,” katanya. – Bernama

    Muhammad Azeem Mohd Fahmi (tengah) ketika beraksi dalam acara 100m lelaki akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda