NEW YORK, 29 SEPT – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres semalam menyeru pemimpin Azerbaijan dan Armenia mengambil langkah segera untuk mengadakan gencatan senjata, lapor agensi berita Xinhua.
“Setiausaha Agung hari ini bercakap dengan Ilham Aliyev, Presiden Azerbaijan dan Nikol Pashinyan, Perdana Menteri Armenia,” menurut kenyataan media dikeluarkan jurucakap ketua PBB Stephane Dujarric.
“Beliau menyuarakan kebimbangan berhubung pertempuran di sepanjang garisan sempadan di zon konflik, Nagorno-Karabakh. Beliau mendesak kedua-dua pemimpin mengambil langkah segera untuk mengadakan gencatan senjata dan memulakan rundingan bagi mengelak ketidakstabilan di wilayah itu,” katanya. – Bernama