BAKU, 7 FEB – Azerbaijan menutup sebuah pusat kebudayaan Rusia di Baku, kata Kementerian Luar Negara kelmarin, ketika hubungan dengan Moscow menjadi dingin berhubung dakwaan sistem pertahanan udara Rusia menembak sebuah pesawat Azerbaijan di udara, menyebabkan ia terhempas dan membunuh 38 orang.
Sebuah pesawat Azerbaijan Airlines terhempas di bandar Aktau di barat Kazakhstan 25 Disember lalu selepas ia terpaksa melencong daripada mendarat di bandar Grozny, selatan Rusia, seperti yang dijadualkan.
Siasatan Kazakhstan berkata Selasa lalu pesawat itu mungkin telah rosak oleh ‘objek luar.’
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, telah berulang kali berkata ia ditembak secara tidak sengaja oleh pertahanan udara Rusia.
Dia telah mengkritik Moscow kerana cuba menyembunyikan peranannya dalam insiden itu – di mana 38 daripada 67 orang yang berada dalam kapal itu terkorban – dan menuntut permohonan maaf secara rasmi.
Jurucakap Kementerian Luar Azerbaijan, Aykhan Hajizada berkata kelmarin bahawa nota diplomatik telah dihantar kepada pihak Rusia pada 3 Februari 2025, menamatkan aktiviti ‘Russian House.’
Beliau berkata pusat kebudayaan itu tidak mempunyai pendaftaran sebagai entiti undang-undang dan organisasi itu telah melanggar undang-undang Azerbaijan dengan serius.
Pusat itu mengajar bahasa dan sejarah Rusia dan mempunyai reputasi mempunyai hubungan dengan perisikan Rusia. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P20-5E-Envato_08022025.jpg)