Selepas seminggu berada di Nepal, pelakon Azhan Rani tidak digalakkan tidur bagi meneruskan pendakian ke Island Peak bagi mengelakkan sebarang komplikasi berlaku.
Azhan memberitahu disebabkan suhu semakin rendah dia juga tidak dapat menikmati makanan dengan baik disebabkan perubahan pada deria rasa, dedah mStar.
Katanya lagi, sewaktu pasukan mereka tiba di salah sebuah hentian di Chukhung, Nepal, mereka terpaksa menahan mengantuk bagi membolehkan mengekalkan stamina sebelum meneruskan ke puncak gunung.
“Walaupun sudah sampai 11 pagi tadi di Chukhung kami tidak digalakkan tidur biarpun mata memang mengantuk sangat.
“Tidur awal hanya menyebabkan mudah sakit kepala dan serangan AMS iaitu sindrom mabuk gunung.
“Saya pujuk hati untuk makan. Makanan di sini tak perlu ceritalah dengan ketinggian dan suhu sekarang ini memang tak masuk dengan tekak Malaysia,” katanya.
Azhan berkongsi perkembangan terkininya menerusi hantaran di Instagram miliknya kelmarin.
Dalam pada itu, Azhan turut memaklumkan dia dan pasukan pendaki akan meneruskan perjalanan ke Island Peak dengan suhu cuaca sangat mencabar. – Agensi