Rindu yang takkan penah habis, pelakon Azhan Rani mendedahkan sudah lama tidak berbaju Melayu menyambut raya sejak pemergian bapa tersayang pada 2016.
Menurut Azhan atau nama sebenarnya Azhan Abd. Rani, 49, setiap kali menyambut Aidilfitri dia pasti akan terkenang kenangan bersama bapa tersayang, Allahyarham Abdul Rani Sabri.
“Sebelum ini saya seronok dengan hari raya dan sayalah yang akan pastikan semua pakai baju raya sedondon.
“Tapi selepas tahun 2016 iaitu selepas pemergian arwah abah, saya cuma berbaju T sahaja pada pagi raya sebab nak pakai baju Melayu pun saya tidak sanggup.
“Saya rasa, sudah lama tidak pakai baju Melayu ketika pagi raya. Kalau pakai pun hanya dalam drama lakonan saya sahaja,” katanya dalam podcast Sembang Seram yang dikendalikan pempengaruh, Safwan Nazri.
Tambahnya, dia sudah hilang rasa seronok untuk menyambut Aidilfitri terutama selepas bapanya tiada lagi di dunia ini.
“Saya bahkan tiada ‘mood’ untuk pergi beraya kecuali kalau ibu saya mahu berjumpa saudara atau rakan-rakannya.
“Namun, untuk saya pergi beraya rumah orang itu, tidaklah.
“Sebab saya masih lagi macam terkenangkan arwah abah. Bukanlah tidak reda, tetapi saya akan lebih terkesan kalau pergi beraya. Saya jadi teringat pada arwah,” ujarnya kepada Kosmo.
Tambah Azhan, dia cemburu melihat mereka yang masih sempat berbakti kepada bapa kerana banyak perkara tidak sempat dilakukannya semasa arwah masih hidup. – Agensi


