Pelakon Azhar Sulaiman melancarkan bidaan bermula RM1.85 juta untuk menjual nombor pendaftaran kenderaan miliknya, MAF 14 dibaca Mafia.
Aktor itu memuat naik perkongsian di Instagram (IG) termasuk maklumat seperti nombor telefon untuk dihubungi bakal pembeli.
“Satu-satunya gelaran MAFIA untuk dilepaskan. Bidaan bermula pada harga RM1.85 juta.
“Jika awda mafia sejati, telefonlah kalau berani,” tulisnya ringkas.
Bapa kepada pempengaruh media sosial Kasih Leona itu turut berkongsi gambar memegang keratan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebagai bukti pemilik.
Turut disertakan adalah foto kenderaannya, Nissan Murano yang pernah tular, kira-kira tiga tahun lalu disebabkan nombor berkenaan.
Azhar yang juga arkitek pernah berkongsi foto memperbaharui lesen kenderaan yang bernombor plat MAF 14.
Sementara itu, menerusi ruangan komen dalam hantaran terbaru, ramai pengikut mendakwa kerap melihat kereta yang menggunakan nombor berkenaan.
Malah, ada yang secara bergurau ingin melakukan sistem barter dengan konsep tukar suka sama suka. – Agensi