TIADA siapa sangka, survival seni penyanyi berasal dari Sabah, Azharina kian menampakkan sinar, selepas menjuarai program realiti, Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).
Jika sebelum ini ada generasi baru kurang mengenalinya sebagai seorang penyanyi yang memiliki vokal tersendiri, namun kini semuanya berubah.
Kali terakhir pemilik nama lengkap Azharina Azhar ini hadir dengan sebuah album penuh adalah pada 2008 menerusi album Rawan.
Lalu peluang menyertai GV3 tahun lalu menjadi platform paling ampuh buat Azharina untuk kembali menyerlah sekali gus membuktikan kualiti serta kredibilitinya di dalam menyampaikan lagu secara langsung masih berbisa.
Bekas juara Bintang RTM 2001 ini mengambil inisiatif dengan menjemput pihak media terpilih bagi mendengar sendiri seleksi lima lagu yang sudah dirakam terlebih dahulu sebelum dilancarkan.

“Saya terharu dan terima kasih buat rakan media atas sokongan dan sanggup hadir untuk sesi pra dengar lagu-lagu yang bakal dimuatkan di dalam album terbaru saya. Insya-ALLAH, kalau ikutkan perancangan, album yang masih tiada tajuk ini akan dilancarkan pada awal tahun depan. Mungkin Januari atau Februari.
Menerusi lima lagi diperdengarkan, setakat ini media dan pihak pengurusannya bersetuju memilih lagu di trek pertama album tersebut, Cinta Terbahagi Dua sebagai single pertama.
Menariknya, selain menjadi lagu pertama rakan media, Azharina juga sejujurnya meletakkan lagu itu sebagai lagu paling disukai dan dekat dengan diri kerana menonjolkan sisi vokal yang lebih matang dan muziknya juga cukup menyentuh hati.
Baginya, muzik di dalam lagu berkenaan mengindahkan lagi vokalnya untuk Cinta Terbahagi Dua. Ikutkan Uncle Jul (Julfekar), lagu itu mengisahkan cinta yang berbelah bahagi di antara dua individu.