Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azharina terasa dihargai terima anugerah negeri Sabah

    Penyanyi Azharina Azhar antara yang tersenarai sebagai penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK) sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Yang di-Pertua Negeri Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

    Meluahkan rasa syukur, Azharina, 40, juga menyifatkan kurniaan itu sebagai pemangkin semangatnya untuk terus berkerja dalam industri seni, menurut laporan mStar.

    “Pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus aktif dalam bidang seni di samping, memberikan yang terbaik buat negeri Sabah dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

    Azharina bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pengiktirafan yang diterimanya itu memandangkan senarai nama baharu sahaja dikeluarkan pada malam Jumaat.

    Namun dia percaya anugerah bukan sahaja untuk dirinya namun kesemua anak seni yang sentiasa berusaha mengangkat industri hiburan tempatan.

    “Saya tidak pernah menyangka akan menerima anugerah sedemikian. Ia benar-benar menyentuh hati saya.

    “Segala usaha, air mata dan perjalanan saya selama lebih dua dekad dalam industri ini terasa sangat dihargai.

    “Saya tak berani nak berikan sebarang kenyataan yang lebih lanjut kerana masih belum menerima anugerah ini secara rasmi,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Azharina memberitahu dia pernah beberapa kali masuk ke Istana Seri Kinabalu untuk membuat persembahan.

    Akan tetapi hadirnya pada kali ini untuk menerima kurniaan adalah perasaan yang sangat berbeza.

    “Terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah atas penghargaan ini serta kepada peminat iaitu Azharina Angels yang tidak pernah berhenti memberi sokongan sejak awal pembabitannya dalam dunia seni,” luahnya.

    Sesi pertama Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat Kehormat Negeri Sabah 2025 dijadual disempurnakan Tun Musa di Istana Seri Kinabalu kelmarin. – Agensi

    Azharina terharu diberi pengiktirafan dari negeri kelahiran sendiri. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda