Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azira Shafinaz idam ke pentas teater

    Hampir 10 tahun bergiat aktif dalam bidang seni, nama Azira Shafinaz semakin mekar dan menjadi perhatian ramai.

    Jarang dihimpit kontroversi liar, anggota kumpulan De Fam ini bijak mengatur langkah bukan hanya dalam bidang muzik, tetapi juga lakonan dan pengacaraan.

    Kembali sibuk di lapangan selepas kerajaan memberi kebenaran buat industri kreatif kembali beroperasi, Azira atau nama penuhnya Azira Shafinaz Ramlan berkata, dia cuba membahagikan masa sebaiknya antara dunia lakonan dan nyanyian.

    “Sekarang saya sibuk di lokasi penggambaran Bunga dan Kayu untuk siaran Astro. Kemudian saya akan masuk ke set penggambaran drama untuk slot Akasia di TV3.

    “Sejak kembali bekerja, saya memang sibuk di lokasi penggambaran sampaikan saya belum berkesempatan menyaksikan filem lakonan saya, Penunggang Agama 2 di Astro First.

    Hampir 10 tahun bergiat aktif dalam bidang seni, nama Azira Shafinaz semakin mekar dan menjadi perhatian ramai. – Agensi

    “Saya harap filem itu mendapat respons positif sama seperti filem pertama sebelum ini. Untuk karier muzik pula, Insya-Allah De Fam dalam pe-rancangan untuk keluar single baharu tahun depan, namun semuanya masih dalam proses perbincangan,” ujarnya kepada media.

    Jika Sophia Liyana sudah tampil dengan projek solo dalam bidang nyanyian, Azira berkata, dia lebih selesa untuk memberi fokus terhadap dunia lakonan terlebih dahulu.

    “Saya tidak pernah terfikir untuk tampil dengan single solo sebab dunia lakonan lebih menjadi minat saya. Jadi kalau menyanyi, buat masa ini saya hanya akan tampil dengan De Fam sahaja.

    “Dalam lakonan pula, selepas drama dan filem, saya menyimpan impian untuk berlakon teater. Kalau dapat peluang itu, kira dah lengkap impian saya dalam dunia lakonan,” jelasnya.

    Diusik soal berumah tangga, wanita berusia 30 tahun itu mengakui sudah bersedia untuk berkahwin pada bila-bila masa andai sudah sampai serunya.

    Bagaimanapun buat masa ini, selain memberi tumpuan kepada kerjaya, Azira juga baru berjinak-jinak menguruskan perniagaan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda