Demi meneruskan kerjaya seni dan mencari peluang lebih cerah dalam bidang muzik di Malaysia, penyanyi Aziz Harun sanggup meninggalkan keluarganya di Brunei dan nekad untuk berpindah ke Kuala Lumpur.
Kata Aziz, 25, meskipun dia sudah mula membina nama di Malaysia menerusi lagu Senyum sekitar tahun 2020, namun sekarang dia tidak lagi perlu berulang-alik seperti yang dilakukan sebelum ini.
Aziz ditemui ketika majlis sidang media pelancaran lagu terbaharunya berjudul Jarak yang berlangsung di Petaling Jaya kelmarin.
Mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan itu, Aziz mengakui berat hati kerana dia tidak dapat meluangkan lebih banyak masa bersama kedua ibu bapanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana keluarga memberi sokongan penuh dan tidak pernah menghalang untuk dia memilih kerjaya dalam bidang seni.
Lebih-lebih lagi selepas dia berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan dari University of East Anglia, United Kingdom (UK) pada Oktober 2021.
“Keluarga tahu saya minat muzik dan mereka tidak pernah halang untuk pilih kerjaya dalam bidang ini. Tempoh belajar sebelum ini pun telah membuka mata saya untuk lebih yakin serius terlibat dengan muzik.
Sementara itu bercakap tentang lagu baharu yang merupakan nyanyian duet bersama Aisha Retno, Aziz memberitahu dia tidak berfikir panjang untuk memberi kata setuju selepas rakannya itu menghantarkan demo.
Lebih istimewa lagi, lagu ciptaan bersama Aisha, Romeo dan Glowrush ini juga akan dimuatkan dalam album terbaharu Aziz berjudul Yang Benar. – Agensi