Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azizulhasni hargai jasa Beasley

    KUALA LUMPUR, 10 OGOS – Jaguh berbasikal trek negara Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang merakamkan penghargaan kepada jurulatihnya John Beasley dan pasukannya, yang selama ini bekerja keras membantu beliau meraih pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ahad lalu.

    Pelumba berusia 33 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, Beasley merupakan watak yang amat penting di sebalik kejayaannya selama ini, dan telah banyak berkorban deminya.

    “Terima kasih kepada Beasley serta isterinya Vicky Beasley. Walaupun lahir sebagai seorang Mat Salleh Aussie, tetapi jiwa beliau sangat dekat dengan Malaysia. Orang luar tidak dapat bayangkan akan pengorbanan beliau untuk saya dan juga sukan lumba basikal negara kita.

    “Teringat zaman muda remaja dahulu, ketika atas kapal terbang Beasley selalu bagi ‘flight meal’ beliau kepada saya dan katanya dia tidak lapar. Saya naif dan percaya bulat-bulat, walhal beliau nak saya tambah berat badan dan makan dengan cukup.

    “Beliau sangatlah dihormati di arena lumba basikal antarabangsa, dan juga sentiasa menjadi rebutan negara-negara lain akan tetapi beliau taat dengan Malaysia. Beasley bukan hanya seorang jurulatih kepada saya, tetapi lebih dari itu,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda