Azizulhasni, Shah Firdaus tawan kejohanan trek elit Victoria

KUALA LUMPUR, 21 FEB – Jaguh berbasikal trek Malaysia, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom berada di landasan tepat menjelang Sukan Olimpik Tokyo apabila meraih penamat 1-2 acara pecut di Kejohanan Berbasikal Trek Elit Victoria semalam.

Azizulhasni, 33, mencatat 10.126 saat (s) pada sesi kelayakan sekali gus mengungguli kedudukan carta dalam saingan yang berlangsung di Velodrom Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne.

Muhammad Shah Firdaus pula berada di kedudukan ketiga terpantas dalam kelayakan dengan 10.186s manakala pelumba Blackburn Cycling Club, Sam Gallagher berada di kedudukan kedua dengan 10.171s.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengatasi pelumba Brunswick Cycling Club, Mace Colson pada peringkat suku akhir sebelum menyingkirkan bekas juara keirin remaja dunia Conor Rowlyer (Blackburn) di separuh akhir.

Sementara Muhammad Shah Firdaus pula menewaskan dua pelumba Blackburn, Sean Cleary dan Gallagher masing-masing di suku akhir dan separuh akhir.

Kedua-dua pelumba Malaysia yang berpangkalan di Melbourne itu menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley, dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo, yang mana Azizulhasni atau nama julukannya The Pocket Rocketman, adalah harapan untuk meraih emas pertama negara di temasya berprestij dunia itu. – Bernama