Hampir dua dekad hilang dari radar dunia seni, kumpulan Iklim kembali bersatu apabila menghasilkan single Mawar Kasturi, penghujung tahun lalu.
Enggan menoleh ke belakang dan mahu memadamkan peristiwa silam yang pernah berlaku, Iklim kini tampil dengan semangat serta jenama baharu iaitu Iklim 2020.
Masih mengekalkan anggota lama, Mohalim selaku pemain basis, Umarul (gitar), Kama (dram) dan Huzali (Keybord), kumpulan yang mengecap populariti menerusi lagu Suci Dalam Debu itu mengetengahkan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sebenar Cinta, Azmani sebagai vokalis.
Kehadiran penyanyi berkulit hitam manis itu bukanlah asing buat kumpulan yang berasal dari Pantai Timur itu. Azmani pernah menjadi penyanyi gantian sekitar 1994. Bagaimanapun, disebabkan Azmani masih terikat dengan kontrak, hasrat untuk terus kekal bersama Iklim tidak mampu dilaksanakan.
Mengulas perkara itu, Azmani yang pernah bergelar penyanyi kumpulan Kulit menyifatkan, kesudiannya untuk bersama Iklim sebagai membayar ‘hutang’ lama. Menerima tawaran Iklim bermakna Azmani perlu berdepan dengan pelbagai reaksi peminat kumpulan legenda itu, termasuk kecaman kerana pasti ada yang membandingkannya dengan bekas vokalis Iklim, Allahyarham Saleem.
“Bohonglah, jika saya kata tak ambil peduli dengan komen yang akan membandingkan saya dan Allahyarham Saleem. Apa yang boleh dikatakan, kami ada cara dan gaya nyanyian tersendiri dan tak mungkin sama.
“Saya dan Iklim sudah serasi, kebanyakan lagunya saya hafal. Malah, saya ada bersama mereka menyaksikan momen Iklim merakamkan album sulung.
“Setakat ini, rata-rata peminat tegar Iklim boleh menerima kehadiran dan memberi sepenuh sokongan apabila saya membaca komen dalam laman sosial,” ujarnya yang sudah 18 tahun tidak menyanyi kerana fokus pada bengkel kenderaan yang diusahakannya di kampung halaman di Kelantan. – Agensi
