BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Dengan semangat dan keazaman tinggi, atlet triatlon Azmi@Mohammed Luqman bin Abdul Hadzid berjaya menamatkan cabaran lasak XTERRA Borneo Sarawak 2025 di tempat kedua, memberikan saingan sengit dalam acara yang menguji tahap fizikal dan mental di peringkat tertinggi.
Perlumbaan yang diadakan pada 3 Mei lalu itu merupakan sebahagian daripada siri XTERRA bertaraf antarabangsa, yang terkenal dengan format triatlon luar jalan merangkumi renang air terbuka sejauh 1.5 kilometer (km), segmen berbasikal gunung mencabar serta larian denai melalui laluan teknikal yang sukar.
“Ia adalah antara perlumbaan paling sukar yang pernah saya lalui. Tetapi segalanya berjaya latihan, strategi dan minda. Saya hanya fokus satu disiplin pada satu masa,” kata Azmi.
Azmi memulakan perlumbaan dengan berenang sebagai peserta pertama keluar dari air selepas segmen renang. Segmen berbasikal kemudiannya menjadi penentu apabila beliau berjaya mengemudi laluan berbukit curam serta selekoh tajam dengan kawalan teknikal yang baik. Dalam segmen larian denai, beliau kekal konsisten dengan semangat daya tahan tinggi hingga ke garisan penamat.
Persediaan menghadapi perlumbaan itu bermula beberapa bulan lebih awal. Beliau menjalani rutin latihan intensif merangkumi renang, kayuhan basikal gunung dan larian teknikal, sering kali dilakukan pada awal pagi atau lewat malam selepas waktu bekerja.
Azmi turut merakamkan penghargaan kepada kelab berbasikal Wakanda, jurulatih renangnya Jimmy, serta Asari Rashid atas program latihan selang yang banyak membantu mempertingkatkan prestasi lariannya.
“Tempat kedua ini bukan milik saya seorang. Ia mewakili seluruh komuniti yang berdiri bersama saya. Kemenangan ini adalah untuk mereka yang percaya dan menyokong perjalanan saya. Ia satu penghormatan untuk mewakili negara dalam acara berprestij ini dan berdiri di atas podium,” ujarnya.