Monday, April 28, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azraai Khor enggan kembali melatih

    KUALA LUMPUR, 29 NOV – Penat melayan ragam pihak pengurusan pasukan yang disifatkan masih di takuk lama punca jurulatih bola sepak berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah mengambil keputusan untuk bersara daripada bidang kejurulatihan di peringkat domestik.

    Mohd Azraai mendedahkan penamatan kontrak beliau selepas hanya kira-kira tiga bulan membimbing Negeri Sembilan pada musim 2018 merupakan kemuncak kepada keputusannya untuk bersara walaupun menerima pelbagai tawaran selepas itu.

    Pengendali berusia 70 tahun itu berkata sehingga kini masih ada pasukan yang menagih khidmatnya namun beliau sudah bertekad untuk berehat.

    “Saya penat dengan bola sepak Malaysia. Selepas insiden dengan Negeri Sembilan, saya ambil keputusan sudah sampai masa saya bersara daripada bola sepak khususnya Liga Malaysia (Liga-M).

    “Apa yang buat saya terkilan adalah melayan karenah pengurusan pasukan, bagi saya kebanyakan pasukan lebih kurang saja.

    Tengoklah macam-macam insiden, lagi-lagi di penghujung musim ini, bagi kontrak saat akhir, kontrak separuh jalan dan macam-macam lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Ketika bersama Negeri Sembilan sebelum ini, kontrak Mohd Azraai ditamatkan serta-merta oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) selepas pasukan itu hanya mencatat dua keputusan seri daripada lima perlawanan Liga Super di bawah kendaliannya.

    Beliau yang mencipta kejayaan bersejarah double treble bersama Kedah dengan memenangi Liga Super, Piala FA serta Piala Malaysia pada musim 2007 dan 2008, mengakui terkilan ditamatkan kontrak tanpa diberikan peluang melakukan rombakan pasukan dalam usaha memulihkan prestasi skuad Hobin Jang Hobin itu.

    Mohd Azraai sebelum ini dilaporkan antara jurulatih tempatan menghantar permohonan untuk menjadi pembantu Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Kim Pan Gon yang menyaksikan bekas pengendali Sarawak United, E Elavarasan dilantik menjawat posisi itu. – Bernama

    Mohd Azraai mengakui terkilan ditamatkan kontrak tanpa diberikan peluang melakukan rombakan pasukan dalam usaha memulihkan prestasi skuad Hobin Jang Hobin itu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda