Pelakon Malaysia, Azri Iskandar bersyukur apabila rakan-rakan terdekatnya tidak menghilangkan diri ketika beliau dalam kesusahan akibat kurang mendapat tawaran berlakon.
Memetik laporan mStar, Azri atau Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar, 56, berkata, walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah dihadapi namun menghargai sikap mengambil berat yang ditunjukkan kepadanya.
Malah kata Azri, beliau sangat menghargai perkara tersebut berbanding bantuan berbentuk wang.
“Alhamdulillah kawan-kawan masih dengan saya macam biasa. Mereka tahu (masalah dihadapi) walaupun saya tiada pekerjaan, bukan saya tidak mahu tapi stesen TV yang menolak nama saya.
“Saya tak perlukan bantuan mereka. Kalau nak bantu saya, kena banyak pakai duit. Kalau setakat RM10, RM20 baik mereka simpan sahaja,” katanya kepada mStar.
Azri berkongsi perkara itu ketika ditemui di tayangan perdana filem Janna Enndoro di Petaling Jaya yang berlangsung pada malam Isnin.
Dalam pada itu, Azri mendakwa beliau masih mendapat banyak tawaran berlakon namun namanya sering ditolak stesen TV selepas dicadangkan pihak penerbit.
Katanya lagi, beliau tidak pernah menerima sebarang penjelasan mengenai penolakan namanya dan sedang mencari peluang bertemu dengan pihak stesen TV bagi mengetahui punca sebenar.
“Saya rasa hairan juga. Apa yang tak boleh dengan saya? Lakonan yang mana saya tak bagus? Sedangkan saya tahu, saya boleh buat semua.
“Kalau saya jumpa, saya akan tanya apa kriteria mereka pilih. Saya nak tahu kenapa pelakon lain dapat tapi saya tak dapat,” ujarnya.
Azri bagaimanapun menolak dakwaan namanya ditolak disebabkan pelbagai kontroversi melanda sebelum ini.
“Saya tak rasa sebab kontroversi. Kontroversi semua berlaku tahun lepas, dah lama.
“Ketika dilanda kontroversi saya masih banyak job. Cuma sekarang ini yang tiada,” luahnya.
Sebelum ini, Azri menerusi program Melodi mendedahkan beliau sudah tidak mendapat tawaran lakonan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah. – Agensi


