Selebriti kontroversi, Azwan Ali, didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memuat naik video menghina petugas Hospital Putrajaya dalam mengendalikan wabak COVID-19, Selasa lalu.
Hakim Azura Alwi juga memerintahkan Azwan, 54, yang menggelar diri sendiri sebagai Diva AA, menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah menasihatkan semua pihak supaya menghormati petugas yang berada di barisan hadapan dan bersama-sama menangani wabak COVID-19.
Terdahulu, Azwan Ali yang hadir berpakaian serba hitam, yang menggunakan laman Youtube “DIVAAATERSOHOR” didakwa secara sedar membuat penghantaran dengan niat menyakitkan hati orang lain yang ditonton di Pejabat Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya di Putrajaya, 24 Mac lalu.
Penghantaran itu kemudian dilaporkan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, jam 4:59 petang, pada 25 Mac 2020.
Azwan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, sabit kesalahan boleh penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Azwan yang diwakili peguam bela Ammanjeet Singh, dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan ia adalah kesalahan pertama selain sudah membuat permohonan maaf menerusi semua akaun media sosial miliknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Shah Ab Razak, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan situasi sekarang di mana semua pihak harus belajar untuk menghormati mereka yang bekerja di barisan hadapan. “Hantaran ini dikeluarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan dibuat dan ia adalah perkara yang serius. Sekiranya berulang ia akan memberi satu impak yang tidak baik,” katanya. – Agensi
