Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azza Elite beri peluang pekerja langsai hutang

    Tindakan penyanyi Azza Elite mendedahkan wajah bekas pekerjanya yang didakwa mencuri wang hasil jualan kek coklat mendapat respons segera daripada individu terbabit.

    Azza atau Nor Azzarima Zawari, 47, berkata, dia menerima panggilan daripada bekas pekerjanya itu yang berjanji akan memulangkan semula wang miliknya selain meminta maaf atas kesilapan dilakukan sebelum ini.

    Malah lelaki tersebut turut meminta Azza memadam fotonya yang dimuat naik di Instagram.

    “Dia minta maaf dan memberitahu sedang berusaha untuk membayar semula wang tersebut,” katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

    Dalam pada itu, Azza berkata, dia tidak akan memadam foto tersebut kerana mahu melihat lelaki itu mengotakan janjinya terlebih dahulu.

    Kata Azza, jika lelaki itu membuat bayaran seperti dijanjikan, dia tidak keberatan memadam fotonya.

    “Saya mahu melihat kesungguhan dia. Kalau dia buat bayaran pertama, saya akan padam foto tersebut. Saya masih beri dia peluang,” jelasnya.

    Azza juga sudah membuat laporan polis pada awal Oktober lalu dan memberikan tempoh selama dua minggu untuk bekas pekerjanya itu melangsaikan hutang tersebut.

    Namun peluang yang diberikan tidak diendahkan sehingga memaksanya bertindak berkongsi info tentang individu terbabit berserta fotonya.

    “Saya sudah beri dia tempoh dua minggu untuk bertanggungjawab namun belum ada sebarang bayaran diterima.

    “Sebenarnya saya tidak mahu berkongsi foto dia tetapi atas nasihat kawan-kawan dalam usaha mendapatkan kerjasamanya membayar duit kami,” ujarnya.

    Azza juga tidak teragak-agak mengambil tindakan selanjutnya sekiranya peluang diberikan ini disia-siakan.

    Pada 8 Oktober lalu, Azza meluahkan rasa kesal dengan tindakan pekerjanya mencuri wang hasil jualan kek coklat diusahakan.

    Kata Azza, pekerja itu menukarkan kod QR yang mana setiap hasil jualan terus ke akaun peribadinya.

    Individu tersebut dipercayai sudah melakukan perbuatan itu selama tiga bulan tanpa dia sedari. – Agensi

    Azza masih memberi peluang untuk bekas pekerjanya melunaskan bayaran. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda