Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    B.I.G bakal anjur Seminar CPD

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Bersempena Urban Oktober Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Hari Bandar Sedunia 2025, Institusi Geomatik Brunei (B.I.G) akan mengadakan Seminar Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) yang membawa tema Bandar Pintar Berpusatkan Rakyat, di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan pada 20 Oktober nanti.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh B.I.G, di sini, acara sehari itu akan menghimpunkan pakar-pakar dari Malaysia, Eropah dan Brunei untuk menerokai peralihan digital dalam memacu pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.

    Berlatarbelakangkan kepada Agenda PBB untuk pembangunan mampan dan matlamat pembangunan mampan (SDG) 11 iaitu untuk menjadikan bandar yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan, seminar itu berhasrat untuk menggalakkan dialog mengenai cara-cara untuk pihak kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam usaha membina ke arah masa depan digital yang mengutamakan masyarakat dan alam sekitar.

    Hari Bandar Sedunia PBB diraikan pada 31 Oktober dengan membawa tema Bandar Pintar Berpusatkan Rakyat, memberi tumpuan kepada bagaimana teknologi digital dan proses membuat keputusan berdasarkan daripada data-data dapat meningkatkan kualiti kehidupan di bandar sambil mengekalkan keperluan manusia yang merupakan teras kepada inisiatif-inisiatif bandar pintar.

    Dalam menyokong visi berkenaan, seminar yang akan diadakan akan meneliti cabaran-cabaran dan peluang-peluang daripada hasil pendigitalan pekan-pekan dan bandar-bandar, terutamanya kesan penggunaan teknologi terhadap pentadbiran, penyampaian perkhidmatan, infrastruktur dan penyertaan rakyat.

    Tema berkenaan menekankan teknologi dan inovasi berperanan untuk meningkatkan kemampanan, inklusiviti, kemakmuran dan hak asasi manusia.

    Ia menyokong pihak kerajaan dalam peralihan digital melalui pembinaan kapasiti, pentadbiran digital yang beretika dan pembangunan kemahiran untuk memastikan semua individu tidak dikecualikan.

    Seminar berkenaan akan menampilkan pembentangan, perbincangan dengan ahli panel serta sesi perkongsian mengenai amalan-amalan terbaik global dan inisiatif-inisiatif serantau dalam membentuk masa depan bandar-bandar pintar.

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda