TALLINN, 10 SEPT – Dua gol Ryan Babel telah membantu Belanda meraih kemenangan mudah 4-0 ke atas Estonia di Tallinn awal pagi tadi, sekali gus merangsang harapan mereka untuk layak ke Euro 2020.
Skuad Ronald Koeman berada di kedudukan ketiga dalam Kumpulan C, dengan mempunyai kelebihan satu perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu, Jerman dan Ireland Utara di tempat kedua selepas pasukan pelawat menang 2-0 dalam pertembungan dua pasukan teratas di Belfast.
“Sebelum perlawanan, kami sedar bahawa sekiranya kami tidak fokus dari awal lagi, ia mungkin menjadi malam yang sukar,” kata Babel, 32.
“Ia adalah perasaan hebat untuk menjaringkan dua gol. Saya bukan lagi antara pemain muda dalam pasukan, jadi saya berusaha untuk menggantikan kepantasan saya dengan pengalaman,” katanya.
Memphis Depay membuat penampilan ke-50 bersama Belanda dengan satu gol dan dua umpanan gol, sementara Georginio Wijnaldum sekali lagi menemui sasaran dalam masa empat hari setelah turut menemui sasaran pada kemenangan 4-2 ke atas Jerman di Hamburg.
Belanda, pemenang Euro 1998, berusaha untuk kembali ke kedudukan teratas Eropah selepas terlepas daripada menyertai Euro 2016 dan Piala Dunia tahun lepas.
Didorong oleh kemenangan hebat mereka di Jerman, Belanda tidak membuang masa untuk mempamerkan serangannya yang menyaksikan Virgil van Dijk memasuki kawasan tengah dan melepaskan ledakan kencang yang hanya tersasar sedikit pada minit ke-3. – AFP
