Kumpulan Korea Selatan, Babymonster terus mengekalkan peningkatan populariti mereka di YouTube dengan muzik video We Go Up dan kini bersedia untuk melonjakkan lagi populariti mereka dengan video persembahan berkualiti tinggi.
Menurut YG Entertainment kelmarin, muzik video untuk lagu tajuk daripada mini album kedua Babymonster, We Go Up, telah melepasi 30 juta tontonan di YouTube sekitar pukul 6 pagi.
Walaupun pada awalnya mengambil masa sehari untuk mencapai 10 juta tontonan, kelajuannya kini meningkat, 20 juta dalam 22 jam dan 30 juta hanya dalam 19 jam, sekali gus menunjukkan minat global yang semakin meningkat.
Bagi mengekalkan momentum ini, YG akan melancarkan We Go Up Exclusive Performance Video pada tengah malam kelmarin. Dengan bilangan tontonan muzik video yang terus meningkat, video akan datang dijangka menjadi pencetus bagi lonjakan populariti seterusnya.
Menurut Allkpop, penerbit eksekutif Yang Hyun Suk yang memberi bayangan tentang video persembahan berskala dan berkualiti setanding muzik video semasa mengumumkan kemunculan semula kumpulan itu.
Selaras dengan janji itu, YG memulakan pra-produksi lebih awal untuk memaksimumkan kualiti, bekerjasama dengan kru tarian mega untuk menghasilkan persembahan berskala besar dan sinematik. Syarikat itu juga menempah lokasi dan menjalankan beberapa hari penggambaran bersama pasukan koreografi.
YG menyatakan, “Oleh kerana koreografi tidak ditunjukkan dalam muzik video, kami menjangkakan peminat mungkin sedikit kecewa, jadi kami memberikan usaha tambahan dalam video persembahan ini. Kami berharap ia menjadi isyarat rasmi untuk promosi kemunculan semula Babymonster secara besar-besaran.”
Tajuk lagu tersebut menyampaikan mesej penuh keyakinan tentang mengejar impian lebih tinggi, menggabungkan rap dan suara tinggi ahli kumpulan yang mendebarkan serta melodi yang memikat menerima respons hangat daripada pendengar. – Agensi


