Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Sempena memperingati Hari Puisi Sedunia yang ditetapkan secara rasmi oleh UNESCO setiap 21 Mac sejak 1999, Kumpulan PUTRA Seni dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sekali lagi menganjurkan Baca Bahana dengan tema Menghayati Ramadan secara dalam talian.
Acara yang diadakan pukul 9:30 malam tadi itu melibatkan 15 orang penggiat, peminat serta pengamat seni pengucapan dari enam buah negara, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Mesir.
Mereka terdiri daripada Zefri Ariff Brunei, nurFik Brunei, Nurhamizah Samihon, Aminah Momin, Syahnizam, Rasli ABR, Jazmeen Tassim dan Atin Aswana serta tujuh orang pembaca luar negara, iaitu Tia Setiadi (Indonesia), Khoer Jurzani (Indonesia), Nisah Haron (Malaysia), Shahril Samri (Singapura), Hassan Hasaa’ree Ali (Singapura), Suzi Al-Fatoni (Thailand) dan Ashraf Aboul Yazid (Mesir).
Baca Bahana kali ini mengetengahkan beberapa puisi pilihan ruangan Sisipan Lembaran Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dalam majalah Bahana, yang dibacakan oleh lima penerima Penghargaan Sasterawan Muda MASTERA, bagi mewakili empat negara MASTERA, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Antara tujuan projek Baca Bahana itu adalah untuk menjalin pertemuan atau menyatukan para penggiat dan peminat sastera tempatan dan luar negara, memelihara nilai bahasa dan seni sastera, memperkenalkan karya penulis tempatan ke persada antarabangsa selain mengangkat, memperkasa dan menanamkan semangat cintakan bahasa dari pelbagai latar dan bangsa, dan menyemarakkan aktiviti seni secara maya.
