Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi Majlis Khatam Al-Quran 78 Kali Khatam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 telah bermula dengan majlis pelancaran yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, hari ini.
Di Daerah Brunei dan Muara, majlis telah diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dan hadir selaku tetamu-tetamu kehormat bersama ialah Menteri
Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bin Haji Mohd Salleh.
Di Daerah Belait, majlis diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Bagi Daerah Tutong telah diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Manakala itu, di Daerah Temburong, majlis berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhd Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Majlis Khatam Al-Quran 78 Kali Khatam berkenaan diadakan sebagai menzahirkan kesyukuran rakyat dan penduduk negara ini kepada Allah SWT di atas limpah rahmat dan nikmatNya menjadikan Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan yang bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera, di samping memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga Baginda dilanjutkan usia dan sihat wal ‘afiat serta mendapat hidayah serta inayah daripada Allah SWT.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan seterusnya pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran bermula dari juz 1 oleh para peserta.
Para peserta terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, penuntut-penuntut sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi di keempat-empat daerah mengikut kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis (berumur 13 tahun hingga 20 tahun) yang terpilih dan mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran remaja dan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah Arab, sekolah-sekolah agama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta penuntut-penuntut sekolah di bawah Kementerian
Pendidikan dan institusi-institusi pengajian tinggi.







