Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bacaan Al-Quran bagi 78 kali khatam dipantau

    Oleh Sim Y.H. –

    TUTONG, 6 JUN – Sempena sambutan perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-78 Tahun 2024, Majlis Pemantauan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran bagi Majlis Khatam Al-Quran 78 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) Seluruh Negara bagi Daerah Tutong telah diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, di sini, majlis berkenaan merupakan kesinambungan daripada Majlis Pelancaran Memulakan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 78 Kali Khatam yang diadakan pada 21 Mac lalu di masjid berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pemangku ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) serta para peserta khatam, jemputan dan penduduk kampung.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Ajman, diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran beramai-ramai secara persendirian, yang kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Mohd Waiz bin Tajuddin.

    Para peserta bagi pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran terdiri daripada ahli-ahli MPMK, penuntut-penuntut sekolah dan IPT di keempat-empat daerah mengikut kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis (berumur 13 tahun hingga 20 tahun) yang terpilih dan mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran Remaja dan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah Arab, sekolah-sekolah agama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta penuntut-penuntut sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan IPT.

    Awang Ajman semasa menghadiri majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    Antara yang terlibat menyertai majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda