Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Negara Brunei Darussalam yang ketika ini mengalami keadaan berjerebu terus menunjukkan bacaan indeks pencemaran udara (PSI) pada tahap yang baik di keempat-empat daerah.
Menurut bacaan PSI dalam laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) sehingga pukul 4 petang, bacaan indeks di keempat-empat daerah adalah baik dengan Daerah Brunei dan Muara mencatatkan bacaan indeks 30, Daerah Belait mencatatkan bacaan indeks 29, Daerah Temburong mencatatkan bacaan indeks 25 dan Daerah Tutong mencatatkan bacaan indeks 21.
Manakala itu, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) telah mengeluarkan amaran mengenai beberapa titik panas yang dikesan di bahagian selatan rantau ASEAN yang mungkin mengakibatkan keadaan berjerebu.
Menurut laporan keadaan cuaca dan jerebu yang dikeluarkan ASMC pada pukul 11:54 pagi, keadaan separa mendung di rantau selatan ASEAN dicatatkan pada sebelah pagi kecuali hujan di beberapa kawasan utara Sumatera.
Sementara itu, pemerhatian satelit semalam telah mengesan beberapa titik panas berasingan di kawasan selatan Sumatera manakala beberapa titik panas juga dikesan di kawasan selatan Kalimantan. Berdasarkan pemerhatian satelit terkini, kepulan asap sederhana diperhatikan dari titik panas di bahagian selatan Sumatera dan kepulan asap berkenaan juga diperhatikan bergerak ke arah bahagian tengah Sumatera.
Laporan itu turut menyatakan keadaan jerebu di bahagian tengah Sumatera tidak dapat ditentukan kerana pemerhatian satelit telah dikaburkan oleh awan.
Manakala di Kalimantan, asap jerebu sederhana hingga sangat tebal berterusan di selatan Kalimantan dan tengah Kalimantan dengan kepulan asap sedikit turut diperhatikan di barat Kalimantan.
Laporan juga menyatakan stesen kualiti udara di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta di selatan, barat dan tengah Kalimantan telah mencatatkan tahap yang tidak sihat.
Mengenai prospek cuaca dan keadaan jerebu, cuaca kering diramal berterusan di selatan Sumatera dan Kalimantan dalam tempoh beberapa hari. Dengan peningkatan jumlah titik panas, keadaan jerebu di kawasan selatan dan tengah Sumatera serta di selatan Kalimantan dijangka akan berterusan di bawah keadaan kering yang dijangka berpanjangan.
