Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bach berdepan dilema

    PARIS, 20 DIS – Ketua Olimpik, Thomas Bach berdepan ‘keputusan paling sukar dalam jawatannya sebagai presiden’ sambil menimbang sama ada atlet Rusia dan Belarus patut dibenarkan untuk bersaing dalam Sukan Olimpik 2024, kata seorang bekas eksekutif kanan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) kepada AFP.

    Petanda yang datang dari badan-badan seperti Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Amerika Syarikat (USOPC) dalam dua minggu lalu mencadangkan atlet dari Rusia dan sekutunya, Belarus harus dibenarkan untuk cuba dan melayakkan diri ke Sukan di Paris.

    Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa telah bersetuju untuk meneliti cadangan membenarkan atlet dari negara-negara itu untuk bersaing dalam acara antarabangsa di Asia.

    Pihak berkuasa Olimpik telah melarang mereka susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine dan persekutuan mereka yang telah membenarkan atlet dari negara-negara itu mengambil bahagian telah menegaskan bahawa mereka tidak mempamerkan lambang negara.

    Hujah yang diberikan ialah integriti acara akan dicemari oleh atlet yang bertanding.

    Bach ketika berada di Messe Stuttgart, Jerman. – AP

    Bagaimanapun, IOC berkata pada bulan ini bahawa OCA dan beberapa Persekutuan Antarabangsa (IF) di benua Asia percaya bahawa alasan bagi langkah-langkah perlindungan tersebut tidak lagi wujud.

    Sikap tolak ansur mereka telah menimbulkan kemarahan Presiden Ukraine, Volodomyr Zelensky, yang menghubungi Bach.

    Zelensky mendakwa 184 orang atlet Ukraine telah terbunuh sejak pencerobohan Rusia dan menyeru ‘pengasingan menyeluruh’ terhadap Rusia dan sekutunya, Belarus.

    Bekas ketua pemasaran IOC, Michael Payne – yang membantu merombak jenama dan kewangan badan itu berkata Bach sedang berdepan teka-teki.

    “Ini mungkin keputusan yang paling sukar yang sedang Bach hadapi dalam jawatannya sebagai presiden,” kata Payne. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda