Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bacina mampu teruskan legasi Hodak

    KUALA LUMPUR, 7 OGOS – Penyerang muda Kuala Lumpur City (KL City) FC, Muhammad Haqimi Azim Rosli percaya jurulatih baharu pasukannya, Nenad Bacina mampu meneruskan legasi ditinggalkan bekas pengendali Bojan Hodak.

    Pemain berusia 20 tahun itu berkata Bacina mempunyai persamaan daripada segi taktikal yang direncanakan Hodak memandangkan kedua-dua mereka pernah bekerjasama sebelum ini.

    “Bacina dan Hodak pernah bersama begitu lama, jadi taktikal mereka sama dan saya harap jurulatih baharu dapat beri yang terbaik buat KL City.

    “Kami sebagai pemain pula akan beri komitmen 100 peratus baik di dalam mahupun luar padang bersama Bacina,” katanya ketika ditemui pada satu acara anjuran syarikat televisyen berbayar di sini, malam tadi.

    Bacina sebelum ini pernah menjadi pembantu jurulatih Hodak, antaranya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014, skuad bola sepak lelaki kebangsaan bawah 19 tahun pada (2017-2019), kelab Indonesia, PSM Makassar (2020) dan KL City (2021-2022).

    Jurulatih dari Croatia itu juga pernah mengemudi dua kelab Singapura, Hougang United (2012) dan Tampines Rovers (2013) selain dilantik Pengarah Akademi Al-Fayhla FC di Arab Saudi tahun lepas sebelum kembali bersama KL City susulan peletakan jawatan Hodak bulan lepas. – Bernama

    Gambar Harian Metro Bacina
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda