WASHINGTON, 4 OGOS – Pemain Australia Nick Kyrgios mengejutkan pemain pilihan pertama Stefanos Tsitsipas dari Greece untuk mara ke final ATP Terbuka Washington, hari ini.
Pemain ranking ke-52 dunia itu mempamerkan prestasi konsisten apabila melakar kemenangan 6-4, 3-6, 7-6 (9/7) ke atas Tsitsipas yang juga pemain ranking nombor lima dunia dalam perlawanan yang penuh dramatik.
‘Bad Boy’ akan beraksi menentang pemain Rusia, Daniil Medvedev di pentas final bagi perebutan gelaran juara.
Medvedev mara ke final selepas menundukkan pemain Jerman, Peter Gojowczyk 6-2, 6-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Ia akan menjadi pertemuan pertama membabitkan Kyrgios dengan Medvedev sepanjang kerjaya kedua-dua pemain terbabit.
Ketika ini, Kyrgios mencatat rekod 4-1 ke atas pemain kelompok 10 terbaik dunia dan mengintai peluang bagi meraih gelaran keenam ATP sepanjang kerjayanya dan yang pertama sejak Acapulco pada Mac lalu.
Sementara itu, saingan kategori wanita menyaksikan Camila Giorgi yang mara sehingga suku akhir Wimbledon akan turun dengan misi memburu gelaran ketiga WTA menentang pemain Amerika Syarikat, Jessica Pegula di pentas final.
Camila mengesahkan tempat ke final selepas menumbangkan Catherine McNally dari Amerika Syarikat 7-6 (7/5), 6-2 manakala Jessica mengatasi Anna Kalinskaya dari Rusia 6-3, 3-6, 6-1 dalam aksi separuh akhir. – AFP
