KUALA LUMPUR, 30 SEPT – Badan pengurusan badminton kelmarin mempertahankan keputusan mereka untuk menunda final musim ini sehingga Januari – keputusan yang mencetuskan bantahan daripada pemain – menegaskan ia adalah ‘penyelesaian terbaik’ semasa pandemik koronavirus.
Penularan wabak telah menjejaskan jadual perlawanan sukan badminton, dengan pegawai berulang kali terpaksa menunda kejohanan.
Dalam perubahan terkini, pegawai telah mengumumkan minggu lalu bahawa tiga kejohanan yang termasuk jelajah dunia pusingan Asia akan berlangsung di ibu kota Thailand, Bangkok pada Januari. Kejohanan final bagi musim 2020 pada mulanya dijadualkan pada November ini. Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Poul-Erik Hoyer menegaskan kelmarin bahawa keputusan tersebut adalah yang terbaik bagi tahun yang sukar ini.
“Memandangkan cabaran yang kita hadapi, ini adalah penyelesaian terbaik pada ketika ini,” beritahunya semasa sidang media.
“Saya yakin bahawa protokol keselamatan akan dilaksanakan, tiga acara akan melancarkan kejayaan kepulangan badminton pada 2021.”
Beberapa orang pemain dari Denmark – termasuk jaguh pasangan beregu Anders Skaarup Rasmussen dan Kim Astrup – dilaporkan berasa berang dengan berita penundaan tersebut.
Para pegawai mengambil maklum mengenai perubahan tarikh yang mungkin memberi kesan kepada ranking dunia dan jadual perlawanan musim 2021.
Namun demikian, presiden Persatuan Badminton Thailand, Patama Leeswadtrakul berkata langkah ketat akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pemain dan para pegawai di kejohanan di Bangkok.
Mereka turut menempatkan ‘gelembung’ di kawasan tersebut – seperti yang dilaksanakan oleh sukan-sukan lain – dan para pemain dimestikan untuk menjalani ujian virus sebelum berlepas dan tiba di Bangkok.
Awal bulan ini, BWF menunda kejohanan Piala Thomas dan Uber selepas beberapa buah negara menarik diri dari kejohanan itu. – AFP