PARIS, 28 Okt – Thierry Henry masih lagi memburu kemenangan sulung sebagai pengurus AS Monaco selepas mereka bergelut dalam saingan Ligue 1 apabila seri 2-2 menentang Dijon, manakala pasukan tangga kedua Lille mengekalkan rentak kemenangan buat kali keempat berturut-turut.
Henry, yang menggantikan Leonardo Jardim awal bulan ini, memerlukan tandukan padu pemain pertahanan, Kamil Glik pada minit ke-78 untuk mengelak kekalahan kelima berturut-turut Monaco dalam liga itu.
Pemain pertahanan dari Jerman, Benjamin Henrichs membuka jaringan buat Monaco pada minit ke-30 tetapi juara Perancis 2017 itu ketinggalan selepas Dijon bangkit dengan dua gol Mickael Alphonse dan Mehdi Abeid.
Pemain kebangsaan Poland, Glik menyelamatkan Monaco untuk meraih satu mata selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam 13 perlawanan dalam semua pertandingan serta satu anak tangga di depan kelab tercorot liga, Guingamp yang seri 1-1 dengan Strasbourg.
“Amat bagus kami bangkit untuk mencatat keputusan seri namun ia bukan kemenangan. Saya masih kekal positif. Saya mesti positif bila keadaan semakin memburuk,” kata Henry yang kehilangan Nacer Chadli selepas mengalami kecederaan ketika sesi pemanasan badan.
Ketiadaan pemain kebangsaan Belgium itu menambahkan masalah buat Monaco, selepas Henry terpaksa menurunkan penjaga gol keempat ketika seri 1-1 dalam saingan Liga Juara-juara menentang Club Brugge, Rabu lalu.
Penjaring terbanyak Monaco setakat ini, Radamel Falcao terpaksa dikeluarkan ketika penampilan sulung Henry sebagai pengurus hujung minggu lalu, yang mana ketika itu mereka tumpas 1-2 di tangan Strasbourg.
Stevan Jovetic pula mengalami kecederaan ketika di Bruges dan Rony Lopes masih belum dapat diturunkan.
“Situasinya amat sukar. Kami bercakap mengenai mereka yang tiada di sini. Bagaimanapun, saya mahu bercakap mengenai mereka yang berada di padang,” – AFP
