Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Seramai 35 yang terdiri dari Pasukan Badminton YB (Yang Bersara) dan Pension / Veteran Team (PVT) dan Kelab Rakan Badminton 2000 (KRB), telah menyahut cabaran dalam Perlawanan Badminton Persahabatan yang diadakan di Dewan Juara, Putatan, Sabah, baru-baru ini.
Perlawanan gabungan dua buah Pasukan Badminton itu di hasrat akan membuahkan hasil permainan badminton yang terbaik dan kebersamaan hubungan yang lebih baik, mulia dan bermanfaat untuk kesihatan.
Di samping bertukar-tukar buah fikiran dan pengalaman serta mengeratkan lagi hubungan ukhuwah silaturahim.
Perkara ini telah dikongsikan oleh Pengerusi Pasukan Badminton YB, Negara Brunei Darussalam, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don dalam ucapan balas berterima kasih kepada KRB kerana telah menerima rombongan pasukan badminton dari Negara Brunei Darussalam untuk perlawanan persahabatan ini.
Terdahulu itu, ketibaan rombongan kedua-dua pasukan telah dialu-alukan oleh Kelab Rakan Badminton 2000 (KRB), Kota Kinabalu, Pengerusi KRB, Haji Abdul Aziz bin Haji Salleh yang telah menyatakan bahawa perlawanan tersebut adalah tanda persahabatan yang baik yang akan terus mengeratkan hubungan silaturrahim yang lebih mesra.



