Badut ‘adiwira’ cegah virus di bazar Ramadan

IPOH, 18 APRIL – Kehadiran empat badut di Bazar Ramadan Taman Jati di sini, bukan sekadar untuk menghiburkan pengunjung yang datang membeli juadah tetapi juga bertujuan mengingatkan mereka agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, termasuk penjarakan fizikal.

Inisiatif itu diambil oleh Muslim Clown Malaysia (MCM) Perak berikutan penutupan beberapa bazar Ramadan ekoran kegagalan mematuhi SOP.

“Kami tidak mahu perkara itu terjadi di sini,” kata wakil mereka Nazirah Abdul Rahman kepada pemberita hari ini.

Menurutnya misi utama mereka ialah memastikan semua pengunjung mematuhi SOP agar tidak wujud kluster baharu.

Nazirah yang dikenali sebagai Mama Pinky berkata kempen tersebut akan diteruskan ke bazar-bazar lain di negeri ini.

Ditanya mengenai aktiviti MCM Perak sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, Nazirah, 43, berkata mereka masih menerima jemputan untuk melakukan persembahan dalam kelompok kecil dan majlis tertutup. – Bernama

Badut, Mohd Faizal Zainul memegang plakad ‘Stay Safe’ bagi menyedarkan pengunjung agar mematuhi SOP ekoran kenaikan kes COVID-19 ketika tinjauan fotoBernama di Bazar Ramadhan Taman Jati Meru Ipoh kelmarin. – Bernama